[Puisi] Perlawanan
Muhammad Izzat Md Isa
Seperti cuba mencapai mentari berapi
adalah diri yang menentang.
Dengan raungan dalam gelap belantara
aku terus mencuba bertingkah
menghalau serangan gigitan berbisa
memangkas belitan lingkaran ketidakpastian
semuanya adalah sejuta perlawanan dalam diri.
Hancurlah batu pejal kebencian
untuk menjadi penemu permata kasih dan belas
di ruang paling dalam.
Langkawi-Kedah, Jun 2024
Muhammad Izzat Md Isa dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah pada tahun 1988. Mendapat pendidik awal di Sekolah Kebangsaan Bayas (1995-2000), Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang (2001-2005) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra (2006-2007). Selepas itu beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Kini beliau bertugas sebagai Pengurus 3D Art Langkawi di Oriental Village. Dalam aktiviti sosial, beliau telah menyertai Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah, Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Friends of Langkawi Geopark (FLAG), Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi (PPBWL) dan Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA). Dalam bidang penulisan, beliau menulis karya kreatif dan non-kreatif seperti puisi, cerpen, skrip, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Buku pertamanya telah diterbitkan oleh Penerbit UUM berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi pada tahun 2022. Pengkhususan penulisannya merangkumi bidang sastera, sejarah, seni, budaya, warisan dan pelancongan.[SY]