Pembicaraan PM Malaysia dengan Presiden Iran

oleh

Saya baru selesai berhubung melalui telefon bersama Presiden Republik Islam Iran Masoud Pezeshkian berhubung perkembangan terkini konflik antara Iran dan rejim Zionis Israel.

Presiden Masoud mengesahkan bahawa Iran bersedia menghentikan tindakan ketenteraan dan menyambut perdamaian—dengan syarat bahawa Israel menghentikan serangan terhadap wilayah-wilayah kedaulatan Palestin dan Iran.

Beliau turut memohon jasa baik saya untuk menyampaikan pendirian ini kepada negara-negara Islam lain agar tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.

Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang telah meragut—tidak hanya rakyat biasa—tetapi juga kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran. Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa.

Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar. Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya. Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri.

Malaysia juga menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi. Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan.

ANWAR IBRAHIM
Dikutip dari akun X (Twitter) @anwaribrahim

Comments

comments

No More Posts Available.

No more pages to load.