Sinopsis Tesis : Yusra Habib Abdul Gani
Tesis ini dimulai dari sejarah awal Aceh Darussalam yang didirikan sejak 22 April 1205, yang penbentukannya dilengkapi dengan sistem administrasi yang diatur mengikut konstitusi (Meukuta Alam), sistem ekonomi bebas dan memiliki mata uang, bendera, cop dan dipimpin oleh Sultan secara turun-menurun hingga awal abad ke 20. Pada masa yang sama, Aceh juga telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara asing, seperti Turki, China, India dan juga dengan kuasa-kuasa besar dari Eropah seperti Belanda, Great Britain, Sepanyol, Portugal dan juga Amerika Syarikat. Pada awal abad ke 17 lagi Aceh merupakan sebuah pusat perdagangan penting yang terletak di persimpangan di antara Timur dan Barat. Kedudukan Aceh yang amat strategik terletak di Selat Melaka, telah menjadikannya pusat pelabuhan dan perdagangan utama di Dunia Melayu. Para pedagang dari Eropah dan juga dari Asia telah menjadikan Aceh pusat perniagaan yang penting. Justeru itu pada tahun 1603, Inggeris-Aceh telah menandatangani perjanjian peraturan lintas perdagangan di Selat Melaka, diteruskan kemudian dengan perjanjian Rafless tahun 1819 dan perjanjian antara Aceh-Belanda tahun 1857. Kedudukan Aceh sebagai sebuah negara berdaulat dan merdeka terus kekal hingga abad ke19, apabila dunia telah memasuki era imperialisme dan kolonialisme yang dipelopori oleh kekuatan Barat untuk menguasi sebagian daripada dunia. Disebabkan oleh kedudukan Aceh yang amat strategik serta menguasai sebagian daripada keuntungan perdagangan yang merentasi Selat Melaka tersebut, maka Aceh telah menjadi sebagian daripada rancangan Belanda untuk menguasai sepenuhnya wilayah di Dunia Melayu. Gerakan Belanda untuk menguasai Aceh sebenarnya telah berlaku sejak awal abad ke 17 lagi, namun asakan Belanda terhadap Aceh lebih jelas berlaku serta bertambah agresif pada tahun 1873.
Memasuki abad ke-20, Belanda dan kekuatan Jepang telah berjaya menyemai gerakan serta mengembangkan semangat nasionalisme di kalangan pribumi yang akhirnya membawa impak kepada pembentukan negara bangsa berasaskan fahaman nasionalisme yang turut melahirkan negara Indonesia pada tahun 1945. Namun Aceh berjaya mempertahankan kedaulatannya dengan menentang politik kolonial Belanda dan Jepang; tetapi pada tahun 1945, Aceh yang sewajarnya memproklamirkan kemerdekaannya, telah terseret ke dalam pembentukan negara Indonesia pada tahun 1945. Apabila Aceh menyadari bahwa hidup bersama Indonesia bukanlah aspirasinya, maka Aceh telah bangkit dengan gerakan Darul Islam Aceh menentang pemerintah pusat Indonesia untuk keluar daripada wilayah Indonesia dan bergabung dengan Negara Islam Indonesia (NII). Akan tetapi pada tahun 1962, gerakan ini sepakat untuk menamatkan perjuangannya dan menerima peruntukan bahwa Aceh diberikan status daerah istimewa dalam bingkai NKRI.
Aceh masih lagi bercita-cita untuk mendaulatkan negara Islam Aceh yang berdaulat. Maka pada tahun 1976, bangkit Gerakan Aceh Merdeka (GAM) yang berjuang untuk mewujudkan Aceh sebagai sebuah negara Islam Aceh yang berdaulat dan merdeka. Setelah berjuang selama 29 tahun, GAM menggugurkan cita-cita perjuangan Aceh Merdeka di perjanjian Helsinki tahun 2005, apabila juru runding GAM meletakkan Aceh menjadi salah satu bagian daripada wilayah Indonesia dan tunduk kepada perundangan Indonesia. Kompromi politik antara GAM-Indonesia tersebut bertentangan dengan tujuan daripada perjuangan GAM yang dipugar oleh Hasan Tiro pada tahun 1976. Justeru itu, maka gagallah perjuangan Aceh untuk mendaulatkan sebuah negara Islam Aceh yang merdeka.
Permasalahannya adalah, mengapakah kekuatan asing menjajah Aceh yang merupakan sebuah kerajaan yang berdaulat dan merdeka, bagaimanakah reaksi Aceh untuk mempertahankan kedaulatkan negara Islam Aceh, bagaimanakah usaha penentangan gerakan Darul Islam Aceh terhadap Kerajaan Pusat Indonesia dan apakah tujuan pembentukan Gerakan Aceh Merdeka (GAM)? Untuk itu, kajian ini meletakkan objektif yang menganalisis faktor-faktor utama kuasa luar menjajah Aceh yang merupakan sebuah kerajaan yang berdaulat dan merdeka, usaha-usaha Aceh untuk mempertahankan kedaulatan Aceh terhadap kuasa luar, perlawanan gerakan Darul Islam (DI-Aceh) terhadap kerajaan pusat Indonesia dan tujuan mendirikan GAM.
Untuk mencapai objektif tersebut, kajian digunakan metodelogi yang bersifat kualitatif, yang hanya berdasarkan kepada fakta-fakta sejarah, pendekatan penulisan sejarah yang bertumpu kepada persoalan asal-usul dan sebab-musabab suatu peristiwa berlaku yang berlaku pada masa tersebut. Untuk itu kajian telah menelusuri dari pelabagi sumber yang terdapat di pusat arsip dan perpustakaan Leiden dan Den Haag (Belanda); Jakarta dan Aceh (ANRI- Jakarta dan ANRI-Aceh), koleksi peribadi dan sumber lisan untuk mengukuhkan data yang diperolehi.
Sebelumnya, banyak kajian (tesis) yang telah ditulis tentang sejarah Aceh Di antaranya adalah karya Efendi Hasan, 2014 berjudul “Gerakan Aceh Merdeka dan Demokrasi Aceh: Analisis Terhadap Transformasi dari Perjuangan Bersenjata Kepada Perjuangan Politik” Tesis ini membincang tentang tranformasi perjuangan GAM daripada Perjuangan Bersenjata Kepada Perjuangan Politik. Terutama selepas perjanjian Helsinki disepekati antara GAM-Indonesia tahun 2005. Perbedaan antara tesis tersebut dengan kajian saya ini adalah mengkaji tentang sejarah perjuangan mendaulatkan negara Islam Aceh yang ternyata gagal diperjuangkan dan dipertahankan dalam perundingan Helsinki 2005. Demikian pula tesis Iskandar Zukarnaen, 2014, berjudul “Dimensi Antarabangsa Dalam konflik Dalaman: Analisis Terhadap Penglibatan Pihak Antarabangsa Dalam Penyelesaian Konflik Di Aceh-Indonesia”, menyifatkan konflik yang berlaku di Aceh merupakan konflik dalaman Indonesia yang penyelesaiannya membabitkan dunia antarabangsa. Sementara itu, ajian saya ini berpendapat bahwa konflik yang terjadi di Aceh bukan merupakan isu kemerdekaan dan penjajahan terhadap Aceh yang belum diselesaikan oleh badan dunia (PBB) melalui prosidur perundangan antarabangsa. Selain itu, Lukman Thaib, 1996, dalam tesisnya berjudul “The roots of Achehnese Struggle”, Department of Political Science, National University of Malaysia . (Part of the PhD thesis), membincang tentang latar belakang sejarah Aceh, kedudukan Aceh dalam perundangan antarabangsa, pengisytiharan Aceh merdeka, liputan media tentang isu Aceh dan resolusi UN yang berhubungkait dengan isu Aceh. Ketiga-tiga tesis yang masing-masing berbeza sudut pandang ini berharga sebagai hazanah penting dalam sejarah Aceh dan kajian saya ini mengisi kekosongan dari sisi lain daripada yang terdapat dalam kajian sebelumnya. Sementara itu, kajian saya ini membincangkan tentang sejarah Aceh yang berjuang untuk menempatkan Aceh sebagai sebuah negara Islam Aceh yang berdaulat dan merdeka serta factor-faktor yang menjadi punca kegagalan perjuangan Aceh.
Karya-karya lainnya, seperti tulisan Dr. Lukman Thaib berjudul “Acheh’s Case A Historical Study of the National Movement for the Independence of Acheh-Sumatra”, 2002, University of Malaya Press. Demikian pula Denys Lombard, 1986, Kerajaan Aceh Zaman Sultan Iskandar Muda (1607-1636), Balai Pustaka, Jakarta; yang menguraikan tentang pelbagai fakta yang membuktikan bahwa Aceh adalah sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, mempunyai tradisi, resam, sumber-sumber penghasilan negara (dari tanah dan pelabuhan), struktur kerajaan, pelaklukan (perluasan empayar), sistem mata wang, cop, tentera, perlembagaan, bendera, empayar yang luas dan hubungan diplomatik dengan pelbagai negara luar. Reid, A, 2007, dalam karyanya Asal Mula Konflik Aceh. Yayasan Obor Indonesia, membahas tentang faktor-faktor penyebab konflik antara Belanda-Aceh (1824-1871) dan berlakunya pengkhianatan Inggeris terhadap Aceh menerusi perjanjian Sumatera tahun 1871. Paul Van ‘t Veer, 1985, Perang Aceh, Kisah Kegagalan Snouck Hurgronje, Grafiti Press, Jakarta Cetakan pertama, memaparkan tentang situasi politik dan keamanan di Sumatera menjelang perang, usaha-usaha bagi mengelak berlakunya perang, Belanda tidak mempunyai alasan untuk menyerang Aceh, perang Aceh menjadi isu antarabangsa, Aceh dipastikan merdeka antara tahun 1945-1950. Akhirnya, Nazaruddin Sjamsuddin, 1999, Revolusi Di Serambi Mekah, Perjuangan Kemerdekaan dan Pertarungan Politik di Aceh 1945-1949, Universiti Indonesia Press. Membahas tentang reaksi Aceh menyambut isu kemerdekaan Indonesia tahun 1945 yang hanya tersebar di kalangan tertentu sahaja hingga kepada pengibaran bendera Merah Putih Indonesia di Aceh dan perbalahan antara kumpulan Ulèëbalang dan PUSA yang mencetuskan perang Cumbok (Desember 1945-februari 1946). Kesemua sumber tersebut telah membantu penyusunan tesis saya ini.
Penemuan yang didapatkan dalam tesis ini. Pertama, perjanjian antara Aceh-Inggeris (1819) menjadikan Belanda merasa diketepikan dan perjanjian London (1824) pula dianggap oleh Belanda sebagai suatu kesilapan dan kesalahan besar, kerana telah mengakui Aceh sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, setelah hampir 50 tahun kemudian. Sehubungan itu, Belanda memerangi Aceh selama 70 tahun dengan pelbagai taktik dan strategi. Kedua, salah satu alasan utama yang menyebabkan perjuangan Aceh mampu bertahan selama 70 tahun menentang kuasa luar adalah disebabkan oleh ketokohan Tengku Thjik di Tiro Muhammad Saman yang mengeluarkan fatwa yang menyebut bahwa kolonial Belanda adalah kafir –musuh Aceh– kerana telah menceroboh wilayah berdaulat negara Aceh. Oleh itu, wajib dilancarkan perang jihad fisabilillah. Ketiga, perjuangan Darul Islam Aceh bukan bertujuan untuk memerdekakan Aceh sebagai sebuah negara Islam yang berdaulat TETAPI untuk mendaulatkan syari’at Islam di Aceh dan Aceh bergabung kedalam wilayah negara Islam Indonesia. Ke-empat, perjuangan GAM yang diasaskan Hasan Tiro pada tahun 1976, bukan bertujuan menubuhkan sebuah negara Aceh yang baru, akan tetapi menuntut supaya status Aceh dikembalikan semula seperti mana sebelum kehadiran kekuatan asing berdasarkan falsafah pemikiran ’historical legitimacy’ atau pun ’historic legal entity’ dan ’successor state’ yang dipakai untuk mendirikan negara bangsa yang selari dengan perundangan antarabangsa.
Akhirnya, tesis setebal 468 halaman ini menyimpulkan bahwa, percaturan kekuatan Eropah di gugusan kepulauan Melayu telah memberi ruang kepada Barat untuk menguasai sepenuhnya wilayah di Asia Tenggara. Hal ini telah menjadikan Aceh tersepit di antara perjuangan untuk mengekalkan kedaulatan bangsa dan juga menentang kemasukan politik baru yang sedang berlaku. Penguasaan Barat ke atas pembentukan negara bangsa yang baru telah menantang kedaulatan Aceh yang telah meniti perjalanan sejarah yang penuh berliku. Perubahan-perubahan yang berlaku ini tidak diketahui sepenuhnya oleh masyarakat umum di Aceh.
Pelbagai strategi yang dilakukan oleh Belanda untuk memerangkap Aceh berjaya dipatahkan, namun kerana asakan yang terlalu kuat dari kekuatan luar serta korban para syuhada Aceh yang begitu ramai, akhirnya memerangkap Aceh semula ke dalam kerangka pembentukan negara Indonesia meskipun itu bukan aspirasi Aceh. Disini jelas terbukti bahawa perjuangan rakyat Aceh menentang Belanda selama 70 tahun adalah sebuah perjuangan mempertahankan kedaulatan negara dan bangsa Aceh BUKAN perjuangan mendirikan sebuah negara Indonesia yang merdeka. Setelah PD II tahun 1945, kedudukan Aceh masih tidak jelas karena perjuangan untuk mendaulatkan sebuah negara yang merdeka dan perjuangan mendaulatkan sebuah negara Islam sepenuhnya belum tercapai dan keadaan ini berlarutan sehingga tahun 2005. Setelah Perjanjian Helsinki (2005), Aceh diberi autonomi seluas-luasnya untuk memerintah, namun usaha untuk membawa Aceh kepada aspirasi asal masih lagi jauh dari tuntutan cita-cita. Mengapakah hal ini masih terjadi? Oleh kerana kajian ini hanya memberi tumpuan sehingga MoU Helsinki ditandatangani, maka dinamika politik yang berlaku sesudahnya memberi laluan kepada para peneliti untuk melakukan kajain seterusnya. Wallahu a’lam bissawab!
*Mahasiswa Fakultas Sains Sosial dan Kemanusiaan Universitas Kebangsaan Malaysia (23 Agustus 2016)