[Puisi] Lintasan Senjakala

oleh

[Puisi] Lintasan Senjakala

Izzat Isa

Angin bermain dengan tali-tali rambut
lembut, nyaman memeluk diri terleka
aku yang berdiri sendiri memandang sepi
yang membuangkan ribut kecamuk jiwa
untuk hadir melihat diri sendiri
aku untuk aku dan angin tetap begitu
seringkali bersahabat kendati terlingkah.

Hujung waktu yang melahirkan pilu
dengan warna jingga terang di tepi jalan
masih bersinar menyapa sekalian isi alam
ahh matahari sememangnya begitu
tidak pernah memberikan kecewa
pada para penyair untuk merawat luka.

Aku dan waktu di tepi jalan lagi
lintasan singkat untuk menghilang lelah
ada apa dengan cerita? sesekali amat bosan
seringkali memikat teruja memberi duga.

Pada segala yang ada di wajah senjakala
yang hitam adalah bayangan di belakang
membenarkan petang sore dipandang indah
ya terus cantik, terus dikagumi olehnya rasa
petang ini seperti lalu mengingatkan kita
usia dan harapan sering berlari-lari
mengejar mencuba menangkap Impian
yang hilang bersama angin tak berupa.

Langkawi, Kedah, Malaysia

Muhammad Izzat Md Isa dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah pada tahun 1988. Mendapat pendidik awal di Sekolah Kebangsaan Bayas (1995-2000), Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang (2001-2005) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra (2006-2007). Selepas itu beliau telah melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kesusasteraan) (2008-2012) dan Ijazah Sarjana Sastera (Kesusasteraan) (2012-2014). Kini beliau bertugas sebagai Pengurus 3D Art Langkawi di Oriental Village. Dalam aktiviti sosial, beliau telah menyertai Angkatan Sasterawan Nasional (ASASI) Negeri Kedah, Persatuan Karyawan Pulau Pinang, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Friends of Langkawi Geopark (FLAG), Persatuan Penggiat Budaya Warisan Langkawi (PPBWL) dan Persatuan Artis Seni Visual Langkawi (LAVAA). Dalam bidang penulisan, beliau menulis karya kreatif dan non-kreatif seperti puisi, cerpen, skrip, zine, komentar, resensi buku, prakata, laporan berita, artikel, kertas kerja dan buku. Buku pertamanya telah diterbitkan oleh Penerbit UUM berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi pada tahun 2022. Pengkhususan penulisannya merangkumi bidang sastera, sejarah, seni, budaya, warisan dan pelancongan.[SY]

Comments

comments

No More Posts Available.

No more pages to load.